Tuesday, September 6, 2011

Penyusuan Selepas Caesarean

hasil nukilan: wafimamakidz at 4:29 PM
Sumber: Penyusuan Selepas Caesarean. Majalah Pa&Ma., duniasusuibu

Ada di kalangan ibu ragu-ragu untuk menyusukan bayi selepas melahirkannya secara caesarean. Pelbagai persoalan timbul akibat kekurangan ilmu penyusuan susu ibu. Jika bercadang mahu melahirkan bayi secara caesarean nanti, INTAN JASTINA JAMALUDDIN ada keterangan lanjut untuk anda ikuti.
Bagi anda yang melahirkan bayi melalui kaedah pembedahan caesarean, ketahuilah anda boleh menyusukan bayi tanpa perlu timbul rasa khuatir. Apa yang penting ialah anda tahu dan mengaplikasi posisi penyusuan yang bersesuaian dengan keadaan diri selepas bersalin.

Antara posisi penyusuan yang sering diakui sebagai selesa untuk anda dan bayi ialah lying down dan football hold (clutch hold). Namun, bagi yang pertama kali bergelar ibu, mungkin agak kekok untuk anda mengguna pakai kedua-dua posisi ini. Jadi, pelajari dan praktikkan posisi ini lebih awal agar anda biasa dengannya.
Untuk pengetahuan anda, ramai ibu yang melahirkan anak secara caesarean menggunakan posisi cradle hold. Ketahuilah, penggunaan posisi ini kadangkala boleh menimbulkan ketidakselesaan jika kedudukan tubuh anda tidak betul. Secara tidak disedari ia boleh membantut keinginan anda untuk menyusukan bayi akibat tidak tahan menanggung kesakitan di bahagian luka pembedahan.


Bagi mengurangkan kesakitan luka pembedahan, anda digalakkan untukmenyediakan kusyen sokongan seperti bantal, tilam kecil dan lain-lain yang boleh digunakan untuk mengalas bahagian abdomen supaya berat bayi tidak menekan bahagian yang luka berkenaan sekiranya anda ingin menyusukan bayi menggunakan posisi cradle hold.

Selain daripada itu, bahagian belakang badan turut perlu disokong dengan bantal. Gunakan lebih banyak agar anda boleh bersandar tidak perlu terlalu membongkok. Dalam pada itu, pastikan bayi turut disokong dengan bantal mencukupi. Pastikan juga posisi badan bayi dalam keadaan yang betul (perut ke perut) walaupun kedudukannya di atas bantal.

Masalah Mungkin Timbul
Sebaik bayi berjaya dikeluarkan, anda sudah mula boleh menyusukannya. Berbincanglah dengan pakar bius dan pakar sakit puan dalam memastikan sentuhan kulit ke kulit dan pengenalan awal penyusuan susu ibu dilakukan ketika di dalam bilik pembedahan lagi.

Antara masalah yang mungkin boleh timbul ialah anda mungkin berasa kebas dan sakit di tempat pembedahan dan parut akan timbul sedikit, membengkak dan gelap daripada warna kulit asal. Bersin, batuk dan lain-lain yang boleh menyebabkan tekanan pada kawasan perut akan menyebabkan anda berasa sakit. Namun, lama-kelamaan keadaan berubah menjadi baik dari hari ke hari.

Anda juga mungkin mengalami masalah angin di dua hari pertama selepas kelahiran. Masalah ini terjadi kerana usus masih lemah selepas pembedahan. Oleh yang demikian, pergerakan akan membantu sistem penghadaman berfungsi semula. Jika anda berada dalam keadaan sangat tidak selesa, ubat yang mengandungi simethicone akan diberi bagi mengeluarkan angin dari badan. Simethicome adalah selamat diambil ketika penyusuan susu ibu.
Dalam usaha menahan sakit, anda mungkin memerlukan ubat untuk beberapa minggu selepas pembedahan. Jadi, anda perlu tahu isi kandungan ubat yang diambil kerana ibu yang menyusukan bayi perlu mengelakkandiri daripada mengambil aspirin atau dadah yang mengandungi asid acetylsalicylic.
Panduan daripada yang berpengalaman

Rita Rahayu Omar, ibu kepada 3 orang anak yang kesemuanya dilahirkan secara caesarean.
1. Sebelum bersalin anda disarankan membuat persediaan untuk mempelajari asas dan teknik penyusuan yang betul. Kelas persediaan penyusuan ibu adalah terbaik kerana anda dan suami dapat mempelajarinya dengan menyeluruh.
2. Mulakan penyusuan seawal mungkin sejurus kelahiran kerana ketika itu payu dara masih dalam keadaan lembut dan susu awal yang dihasilkan masih dalam kuantiti yang sedikit. Jika anda mengambil spinal atau epidural, ia lebih mudah tetapi bagi yang menggunakan bius seluruh badan, minta doktor atau jururawat untuk meletakkan bayi di dada anda. Pastikan bayi dan anda berada dalam keadaan selesa dan diselimuti kerana suhu di bilik pembedahan sangat sejuk.
3. Pastikan baby rooming in bersama anda. Kerapkan penyusuan mengikut keperluan bayi. Biasanya, bayi menyusu lebih kurang 8 hingga 12 kali dalam 24 jam. Jika anda menggunakan bius seluruh badan atau separa, bayi akan lebih mengantuk. Oleh itu, bantu dia untuk bangun menyusu terus daripada payu dara dan rangsang payu dara dengan menggunakan tangan atau pam.
4. Posisi yang paling sesuai adalah posisi sambil berbaring dan anda berada dalam keadaan mengiring dengan bantal-bantal diletakkan di belakang, celah kaki dan di dada. Anda hanya perlu tinggi atau rendahkan bantal supaya bayi boleh mendapat kedua-dua belah payu dara tanpa perlu menukar arah. Ketika ini, pastikan anda mendapat bantuan daripada sesiapa yang ada berhampiran.
5. Selepas pembedahan, anda biasanya akan terbaring di katil kerana masih berasa sakit di bahagian luka pembedahan. Anda tetap disarankan untuk bangun dan bergerak dalam tempoh 24 jam supaya cepat sembuh. Untuk bangun dari katil hospital, gunakan penghadang di sisi katil sebagai sokongan. Jika di rumah, anda boleh mengikat kain panjang di hujung katil dan gunakan kuasa tangan untuk menarik kain tersebut dan bangun.
6. Dapatkan tali pinggang sokongan atau bengkung yang berpelekat untuk memberi sokongan pada perut dan belakang agar memudahkan anda berjalan.
7. Gunakan bantal menyusu supaya dapat membantu anda untuk mengurangkan sakit di perut ketika menyusu.
8. Di antara waktu menyusu, pelbagaikan aktiviti sentuhan kulit ke kulit dengan bayi. Sentuhan berpanjangan akan menambahkan keakraban yang secara tidak langsung meningkatkan tahap hormon yang bertanggungjawab menghasilkan susu. Anda boleh meletakkan bayi di dada sambil berbaring (ikatkan dengan tuala agar bayi tidak jatuh ke tepi).

0 comments:

FB Page daku

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 

...There something about mamakidz Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Emocutez