Artikel ini ditujukan khusus kepada ibu-ibu yang mengambil anak angkat dan berusaha untuk menjadi ibu susuan kepada anak angkat.
Mencetuskan penyusuan ibu atau induce lactation bagi ibu angkat yang hendak menyusukan anak angkat bukanlah perkara mudah kerana biasanya ibu-ibu ini tidak pernah hamil atau tidak pernah melahirkan anak sebelum itu. Jadi proses pembentukan dan kematangan kelenjar mamari seperti yang dialami semasa proses kehamilan tidak pernah berlaku kepada ibu-ibu ini. Namun begitu ini tidak boleh menjadi penghalang untuk ibu-ibu angkat berusaha untuk menghasilkan susu ibu untuk diberikan kepada anak angkat mereka.
Memberikan susu ibu kepada anak angkat bukanlah semata-mata untuk tujuan menjadikan anak itu muhrim kepada ibu bapa angkat tetapi lebih kepada memberikan makanan terbaik untuk bayi. Susu ibu tetap yang terbaik berbanding susu formula. Seperti yang dinyatakan oleh Dr Jack Newman di dalam bukunya, “The Ultimate Breastfeeding Book of Answers”, susu formula bukanlah pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Susu formula adalah pilihan keempat selepas susu perahan ibu dan susu ibu dari ibu susuan.
Semasa kehamilan badan wanita akan meningkatkan penghasilan hormon progesteron dan estrogen (dirembeskan oleh ovari) dan hormon prolaktin (dirembeskan oleh kelenjar pituitari) untuk menyediakan payudara untuk penyusuan ibu. Di akhir kehamilan, aras progesteron dan estrogen akan menurun manakala aras prolaktin akan bertambah untuk memulakan penghasilan dan pengeluaran susu ibu di payudara. Prosedur inilah yang cuba ditiru untuk membolehkan ibu-ibu yang tidak pernah hamil mengalami proses mencetuskan susu ibu di payudara mereka. Apabila susu ibu sudah berjaya dihasilkan maka langkah seterusnya menjadi lebih mudah iaitu meningkatkan dan mengekalkan penghasilan susu ibu.